Cari Senjata Kamu
oleh Evelyn
Sebelum melangkah ke medan peperangan untuk melawan gergasi (Goliath), Daud dinasihatkan untuk menggunakan senjata Saul (perisai, topi keledar dan pedang) untuk peperangan tersebut. Tetapi dia mendapati senjata tersebut tidak sesuai baginya. Oleh itu, Daud memutuskan untuk menggunakan peralatan yang telah dikuasainya semasa meluangkan waktu bersama Tuhan di padang rumput. Daripada Alkitab, kita tahu bahawa Daud mengalahkan musuh dengan tongkat dan batu.
​
Daud yang membantu menjaga biri-biri ayahnya adalah seorang gembala yang muda dan biasa sahaja. Bagi seorang yang begitu muda untuk melawan gergasi sememangnya satu misi yang mustahil. Tetapi ketika hatinya tertumpu kepada Tuhan, dia dapat mengalahkan orang Filistin dengan senjatanya yang unik. Walaupun ada masanya perkara kelihatan mustahil, segalanya berubah ketika kita mengalihkan fokus kita kepada-Nya. Apa yang nampaknya mustahil pun boleh dilakukan.
​
Masih ingat tembok kota Yerikho yang runtuh? Tuhan meminta orang Israel mengelilingi kota, meniup sangkakala dan bersorak dengan nyaring dan tiada sesiapa yang menyangka bahawa aksi ini akan meruntuhkan tembok kota. Tuhan menggunakan pelbagai cara untuk membimbing dan memimpin orang yang berlainan. Kamu dapat mengalahkan gergasi Goliat dengan batu yang kecil. Kamu dapat meruntuhkan tembok Yerikho hanya dengan satu teriakan! Apabila kita mengarahkan hati kita kepada hati Tuhan, kita akan menerima senjata yang spesifik untuk pertempuran kita.
​
Dalam perjalanan kamu bersama Tuhan, jangan fokus kepada kekacauan dan suara di sekeliling kita. Setiap orang adalah unik. Mula mencari Dia dan Dia akan menyerahkan senjata yang unik kepadamu. Dia tahu apa yang terbaik bagimu.
Application
Adakah kamu memerlukan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi sekarang? Adakah kamu sudah menemui "senjata" kamu? Carilah Tuhan dan minta penyelesaian unik yang Dia persiapkan bagi kamu.
Pernahkah kamu berfikir bagaimana untuk menggunakan "senjata" kamu untuk meninggalkan suatu legasi di sekolah, tempat bekerja atau komunitimu? Luangkan sedikit masa untuk berdiam di dalam Tuhan dan tanyakan perkara ini kepada-Nya.